Pages

Monday, February 13, 2012

Jenis-Jenis Beras

 

Beras putih vs beras perang

Secara dasarnya beras boleh dibahagikan kepada dua kategori berdasarkan warnanya iaitu beras putih dan beras perang. Beras perang lebih mengandungi khasiat berbanding beras putih. Beras yang dimasak rasanya lebih lembut dan teksturnya kenyal dan kandungan seratnya amat tinggi. Beras perang memerlukan masa yang lama sedikit untuk dimasak berbanding beras putih.

Beras boleh dibahagikan kepada empat bentuk yang berbeza mengikut jenis-jenisnya:

Beras panjang
Beras ini boleh didapati dalam jenis putih dan perang. Panjangnya empat kali ganda daripada lebar. Bila dimasak, nasi menjadi berderai, ringan dan lembut.

Beras sederhana panjang
Beras ini lebih lebar daripada beras panjang dan nasinya lembut. Ia boleh didapati daripada kategori beras perang dan putih.

Beras pendek
Bentuknya bulat dan pendek. Bila dimasak, ia akan melekat dan sesuai dijadikan bubur nasi. Ia juga terdiri daripada beras perang dan putih.

Beras kanji
Beras kanji biasanya pendek. Ia sesuai dibuat sushi dan lebih popular di kalangan masyarakat Jepun.

Jenis-Jenis Beras:
Daripada bentuk-bentuk beras yang ada, ia kemudian dibahagikan kepada jenis-jenisnya pula. Beras boleh dibahagikan kepda sembilan jenis iaitu:-

Beras Basmati
Beras ini banyak ditanam di Pakistan dan India, juga di Amerika Syarikat, Ia mempunyai aroma yang enak. Bila sudah dimasak, nasinya tidak melekat dan ia berderai. Berasnya juga tidak mudah patah. Sesuai dijadikan nasi beriani, nasi minyak dan nasi bukhari.

Beras Wangi
Beras wangi juga mempunyai keistimewaannya sendiri. Beras jenis ini berbau wangi setelah dimasak dan agak ringan tetapi lembut. Berasnya tidak mudah patah.

Arborio
Beras jenis ini banyak ditanam di Itali. Setelah dimasak, ia melekat antara satu sama lain. Ia memerlukan air yang banyak untuk dimasak kerana ia mengandungi kanji yang agak berlebihan.

Jasmine
Beras ini banyak ditanam di Amerika Syarikat dan Thailand. Berasnya panjang dan lembut setelah dimasak. Beras jenis ini tidak jauh berbeza dengan beras basmati. Ia sesuai dijadikan nasi beriani, nasi minyak dan nasi tomato.

Beras krismas
Beras jenis ini berwarna merah, berkanji, dan nasinya agak mampat.

Beras Mutiara
Teksturnya berkanji sedikit bila dimasak dan beras jenis ini popular di kalangan masyarakat di Jepun, Korea dan China.

Beras Pecan
Baunya seperti bertih jagung dan ia berasal dari Louisiana, Amerika Syarikat. Kandungan seratnya tinggi dan ia memerlukan masa yang agak lama untuk dimasak. Beras ini boleh didapati dalam bentuk perang atau putih.

Beras Liar
Beras jenis ini sesuai dijadikan nasi pilaf dan bubur. Beras ini ditanam di California, Idaho, Manitoba dan Ontario, Amerika Syarikat. Ia mengandungi tekstur yang kenyal.

Beras Wehani
Ia terdiri daripada jenis beras perang sahaja. Beras jenis ini juga mempunyai aroma yang wangi.

Di Malaysia terdapat pelbagai jenis beras. Namun ia boleh dibahagikan kepada beberapa jenis yang popular di kalangan masyarakat Malaysia.

Beras Siam
Beras yang diimport dari negara jiran ini merupakan beras yang digemari oleh sebahagian masyarakat kita. Beras Siam ini tergolong dalam kategori beras panjang jenis jasmine. Terdapat pelbagai jenis beras Siam yang dijual di negara ini. Beras Siam dikatakan lebih enak dan lembut.

Beras Wangi
Beras jenis ini lebih digemari oleh kaum cina negara ini. Ia terdiri daripada kategori beras panjang dan sederhana, tergolong daripada jenis jasmine.

Beras Basmati
Beras ini diimport dari India dan Pakistan. Beras yang sesuai untuk memasak nasi beriani, tomato dan minyak ini sering digunakan dalam majlis perkahwinan dan keramaian.

Beras Tempatan
Beras yang ditanam di negara ini terdiri daripada pelbagai gred. Beras tempatan ditanam daripada jenis gred super hinggalah gred beras biasa.

Beras Organik
Beras yang mengandungi khasiat tinggi dan kurang karbohidrat ini juga diimport dari negara luar. Kebanyakan beras organik di negara ini diimport dari Thailand. Kebiasaannya beras jenis ini terdiri daripada beras jenis panjang dan bermutu tinggi.

Beras pulut (putih)
Beras pulut ditanam untuk kegunaan sendiri. Baka beras pulut tempatan adalah beras kacukan pulut sutera dan ria (IR8)

Beras pulut (hitam)
Ia juga ditanam untuk kegunaan sendiri. Ia hanya sesuai dijadikan bubur, tapai dan ketupat. Pulut hitam tempatan adalah daripada baka PH9. Ia banyak ditanam di utara tanahair.

Beras nasi dagang
Beras daripada jenis jasmine ini banyak ditanam di negara Thailand. Beras perang ini juga digolongkan sebagai beras jenis panjang dari jenis Wehani.

Beras perang
Beras perang adalah beras biasa, tetapi ia tidak menjalani proses pembersihan yang sama dengan beras putih. Beras yang berserat tinggi ini baik untuk kesihatan.

Beras merah
Ia juga dikenali sebagai beras bario dan banyak ditanam di tanah tinggi di Sarawak. Beras ini juga sesuai dimakan oleh kanak-kanak kerana ia mempercepatkan pencernaan makanan. Selain itu beras bario juga dikatakan dapat menghindari penyakit barah.

~,~ Terima Kasih, Jemput Datang Lagi Ye ~,~

No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved mama-aima.blogspot.com