Herba dan rempah ratus adalah antara bahan masakan penting yang sudah menjadi
sebahagian daripada sajian masyarakat di seluruh dunia sejak beribu tahun
lamanya.
Tumbuhan itu adalah warisan yang tidak ternilai kepada manusia kerana selain
menyedapkan lagi hidangan, herba juga mempunyai banyak khasiat berguna untuk
penjagaan kesihatan badan dan kecantikan.
Untuk masyarakat tempatan, kita memang tidak dapat lari daripada beberapa bahan
seperti lengkuas, halia, kunyit, bawang serta serai yang sememangnya sentiasa
ada di dapur.
Halia
Halia atau nama botaninya, Zingiber officinale, digunakan sebagai
bahan untuk merawat luka dan mencegah jangkitan parasit, tetapi kerana kurang
pendedahan mengenai khasiatnya, sebahagian besar generasi masa kini mengenali
halia hanya sebagai satu rempah ratus masakan.
Tumbuhan ini dikatakan berkesan untuk merawat loya dan mual, namun untuk ibu
yang hamil, pengambilannya tidak digalakkan. Ia juga membantu untuk melegakan
kesakitan perut selain mengelakkan kekejangan akibat cuaca panas.
Di Asia Tenggara, halia sebenarnya banyak digunakan untuk membantu menangani
beberapa jenis penyakit seperti berkaitan penghadaman, angin serta memanaskan
badan kerana ia kaya dengan pati minyak, oleoresin, protein, lemak, asid
organik serta vitamin A, B, dan C.
Kunyit

Pokok kunyit pula sememangnya unik kerana ia mempunyai pelbagai kegunaan. Daun
kunyit biasanya digunakan untuk memberi aroma serta warna kuning kepada masakan
seperti rendang, gulai selain dijadikan sebagai pembalut ikan atau daging yang
dibakar. Dalam perubatan, kunyit atau nama botaninya, Curcuma domestica
digunakan sebagai antioksidan, antibakteria dan antiradang. Ia dikatakan
membantu menyembuhkan luka di dalam badan, membantu proses pencernaan serta
menghilangkan selesema. Kajian menunjukkan peranan kunyit dalam perubatan sudah
dikenal pasti sejak 3,000 tahun lalu. Bagi masyarakat Melayu, kunyit sering
digunakan sebagai jamu untuk ibu selepas bersalin bagi mengecutkan rahim serta
mencuci darah. Masyarakat Cina pula percaya isi kunyit boleh membantu
melancarkan darah, menghilangkan kesan lebam dan darah beku.
Masyarakat India menggunakan kunyit sebagai bahan utama dalam masakan rempah
kari serta acar pedas dan ilmu perubatan India mengesyorkan kunyit sebagai pes
untuk mengubati penyakit kulit, gatal-gatal dan depilatori. Lebih menarik,
masyarakat di negara jiran, Thailand, mempercayai kunyit dapat merawat bisa
patukan ular tedung dan dikatakan ada penyelidikan yang membuktikan herba itu
membantu untuk menguatkan pundi hempedu, menyekat pembekuan darah serta
mengurangkan toksin pada
Lengkuas
Tanaman herba yang biasa ditanam di sekitar rumah, lengkuas atau nama
saintifiknya, Alpinia galanga, pula tidak kurang hebatnya daripada segi
khasiat.
Tergolong dalam keluarga Zingiberaceae, lengkuas dipercayai mempunyai khasiat
untuk menambahkan selera makan serta membantu membersihkan darah, mencairkan
kahak, merawat penyakit limpa bengkak dan mempunyai ciri afrodisiak, penyebab
utama ia banyak dijadikan sebagai salah satu bahan dalam menguatkan tenaga.
Asam Gelugur
Asam gelugur juga mempunyai banyak kebaikan kepada kesihatan
badan. Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, asam gelugur atau nama
saintifiknya Garcinia atroviridis yang mengandungi asid hydroxycitris dianggap
antara ejen terbaik mengurangkan kolesterol.
Asam gelugur dipercayai dapat membantu mengurangkan asid lemak selain
meningkatkan pengeluaran glikogen di hati serta meningkat suhu badan.
Bawang Putih

Bawang putih atau Alium sativum pula memang sudah menjadi bahan dapur utama
ketika memasak kerana aroma dan rasa yang dihasilkan menambah perisa pada
setiap hidangan. Penggunaan bawang putih sebenarnya bukan sekadar untuk
menyedapkan makanan semata-mata kerana ada kajian yang mendapati khasiat bawah
putih untuk kesihatan. Penduduk awal Amerika menggunakan bawang liar untuk
merawat demam, batuk dan asma manakala dalam perubatan Cina, bawang banyak
digunakan untuk menangani masalah batuk, jangkitan bakteria serta masalah
pernafasan.
Masyarakat Syria dikatakan mencampurkan bawang putih ke dalam minuman untuk
mengubati demam, cirit-birit dan menahan sakit semasa bengkak. Ia juga
dipercayai membantu untuk menguruskan badan, menurunkan paras kolesterol serta
tekanan darah tinggi dan menambah kepekatan darah. Kandungan bawang putih bukan
saja menghasilkan antibodi, tetapi turut membentuk sistem kawalan secara semula
jadi untuk membunuh kuman bagi meredakan demam kepialu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyokong penggunaan bawang untuk
mereka yang mengalami masalah kurang selera makan serta mencegah
atherosclerosis selain dapat membantu meredakan masalah batuk, asma dan
bronkitis.
Serai

Serai pula boleh didapati dalam dua jenis utama iaitu untuk dimakan dengan nama
saintifik Cymbopogen citratus dan serai wangi, Cymbopogen nardus. Menurut laman
web Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), tanaman
serai makan dilaporkan berasal dari Sri Lanka dan tersebar luas di kawasan
tropika, termasuk Malaysia, Indonesia, Tanzania, Brazil, Guatemala serta China.
Di Malaysia, serai makan terutama batangnya digunakan sebagai bahan perisa
dalam masakan tradisional seperti masakan rendang, tom yam, kerabu, masak lemak
cili padi dan asam pedas kerana aroma serta rasanya yang unik dapat
meningkatkan selera. Di sesetengah negara, serai makan diusahakan khas untuk
pengeluaran minyak pati yang berwarna kuning hingga coklat kemerahan dan berbau
limau atau lemon. Serai wangi pula banyak digunakan untuk rawatan selepas bersalin
dan pening kepala. Caranya adalah dengan menggunakan air rebusan serai wangi
sebagai mandian atau dibasahkan kepala dan dilapkan pada seluruh badan. Ia juga
banyak digunakan dalam menghasilkan minyak urut untuk mengatasi masalah
kebas-kebas, lenguh-lenguh, gigitan serangga dan kembung perut. Bagaimanapun,
di kebanyakan negara, serai wangi ditanam khas untuk pengeluaran minyak pati
yang dikenali sebagai citronella di pasaran antarabangsa.
Limau Purut
Limau purut juga mempunyai banyak khasiat dan kegunaan. Daunnya banyak
digunakan dalam masakan seperti tom yam kerana bau dan rasanya yang unik.
Daripada aspek kesihatan, limau purut banyak digunakan sebagai ramuan ubatan
dan bahan untuk mandi wap kerana ia dipercayai membantu untuk merawat kulit kepala,
luka, lebam dan gigitan serangga berbisa.