Assalamualaikum dan Salam Rabu semua. Semoga semuanya sihat dan sentiasa dalam lindungan Allah, amin. Dah bekpes belum? Aima tak sempat bekpes tadi, terkejar sana sini hantar anak sekolah. Letih weii tapi tak kurus-kurus pun, tetap gak comey lotey ahahaaa...
Ok, semalam baru ada masa selongkar entry yang dah lama terperap dalam draft, punyalah banyak nasib baik tak berkulat. So hari ne sebelum start keje, Aima share dulu kisah ne ye. Mana yang baik kita ambil sebagai panduan dan pedoman.
MAZNAH (bukan nama sebenar), ibu lima
anak dan isteri Bahari (bukan nama sebenar), seorang pesara. Hidup mereka tidak
mewah,tetapi cukup segala-galanya. Bahari
pula sering berulang- alik ke hospital untuk menerima rawatan kerana menghidap
penyakit kronik.
Suatu hari, dua adik lelaki Maznah
datang ke rumahnya dan membawa berita gembira iaitu ingin mengajaknya
menunaikan haji. Mereka berpendapat kakak mereka yang
berpengalaman menunaikan haji, tentu tahu selok-belok dan cara membuat haji
dengan betul. Maznah bangga mendengar pujian adiknya, namun kerana terpaksa
menjaga suami, dia serba salah dan agak keberatan.
“Kakak pernah pergi dulu, nanti apa
pula kata abang Bahari. Memanglah, kalau diikutkan hati, siapa yang tidak mahu
pergi ke Tanah Suci. Seribu kali pergi tidak puas lagi,” katanya dengan suara
sugul.
Selepas dipujuk, Maznah lembut hati
dan mahu mengikut mereka menunaikan haji untuk kali kedua.
Maznah menghantar namanya ke Tabung
Haji tanpa pengetahuan suami dan anak. Beliau menjalani rutin harian tanpa
meminta izin suami. Apabila tiba masa yang sesuai, dia akan memberi tahu
suaminya.
Apabila tiba waktu panggilan dari
Tabung Haji, Maznah mendapat surat mengarahkan dia mendaftar dan mengikuti
kursus haji. Gembira bukan kepalang, beliau lantas
memberitahu adik-adiknya.
Maznah langsung tidak terfikir untuk
meminta kebenaran suaminya. Namun, kegembiraan itu tidak lama apabila duit
simpanannya hanya cukup untuk pakej mengerjakan haji, sedangkan wang poket
tidak ada.
Namun akalnya panjang, dia
teringatkan anak-anaknya lalu mengumpulkan mereka di rumah. Anak-anak yang
tidak tahu hujung pangkal pulang dalam keadaan tertanya-tanya.
“Sebenarnya, mak minta kamu berkumpul
sebab nak minta tolong. Permohonan untuk pergi haji sudah diluluskan, jadi mak
nak minta bantuan kewangan untuk duit poket dan kecemasan. Tambang pakej sudah
sedia. Kalau hendak mengharapkan ayah kamu, dia sakit,” katanya.
Semua yang
mendengar terkejut, terutama suaminya.
“Bila masa pula kamu tanya saya
hendak pergi haji,” tanya Bahari dengan sedikit berang.
“Saya tanya atau tidak, sama juga.
Lagipun awak sakit, nanti menjejaskan kesihatan awak pula,” jawab Maznah kepada
suaminya.
“Bukankah mak sudah pergi dulu? Buat
apa nak pergi banyak kali sebab yang wajibnya sekali saja. Ayah sudah beri
keizinan ke belum,” tanya anak sulungnya.
“Ala, kalau tanya ayah kamu bukannya
dia hendak bagi. Baik mak tak payah tanya,” balasnya.
“Tak boleh macam itu. Mak kena
dapatkan keizinan ayah dulu. Lagipun buat apa nak pergi, sedangkan ayah lebih
memerlukan mak di sini. Bukankah ayah sakit?” katanya.
“Alah, kakak dengan abang ini, itupun
nak berkira. Kan mak hendak pergi beribadat, hulur sajalah sikit duit poket.”
kata anak bongsunya.
Bahari sebagai ayah tidak dapat
bersuara kerana tidak mahu membebankan fikirannya. Hatinya kecewa dengan sikap
Maznah yang membelakangkan dirinya sebagai suami. Beliau hanya mampu mendiamkan
diri dan cuba menahan rasa marah dan hati terluka.
Beliau tidak menyangka Maznah sanggup
bertindak di luar pengetahuannya, malah langsung tidak mempelawa untuk bersama
menunaikan haji.
Anak-anaknya pula bertengkar sesama
sendiri untuk menguatkan hujah masing-masing. Sebagai ibu, Maznah tidak
meleraikan mereka, sebaliknya turut sama bertegang leher untuk meminta duit
daripada mereka.
“Mak bukannya pergi suka-suka,” tegas
Maznah. Bahari menggeleng-gelengkan kepala kerana tahu anak-anaknya bukannya
mewah sangat dan gaji pula hanya cukup untuk menyara keluarga saja. Mereka ada
masalah tersendiri.
“Mak, tolonglah faham masalah kami.
Saya bukannya bergaji besar dan ada empat anak untuk ditanggung. Saya bukan tak
mahu beri, tapi mak pergi tak kena masa.,” kata anaknya.
Akhirnya tiada kata putus dicapai,
sebaliknya anak-anaknya pula bermasam muka. Bagi Bahari, tiada apa yang perlu
diceritakan. Dia seperti tidak wujud bagi isterinya kerana Maznah sanggup
memperlakukan dia begitu.
Beliau berserah kepada Allah dan
memohon diberi petunjuk kepada isterinya. Dia sudah tidak ada upaya untuk
menasihati isterinya yang keras kepala.
Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dan
doa orang yang teraniaya pasti ditunaikan. Belum sempat Maznah pergi, beliau
ditimpa sakit yang tidak diketahui puncanya iaitu terlantar tidak berdaya,
mulutnya senget sebelah dan tidak dapat bercakap dengan jelas serta badannya
tidak bergerak bagaikan orang lumpuh.
Bahari pula yang terpaksa menjaga
Maznah dengan setia. Beliau walaupun terguris dengan perbuatan isterinya, tidak
mahu mengabaikan tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga. Bahari sedia
mengampunkan dosa isterinya jika perkara buruk terjadi.
Melihatkan Bahari ikhlas menjaganya,
Maznah terharu dan menyesal di atas perlakuannya. Itulah balasan yang akan
diterima oleh seorang isteri yang tidak menghormati suami.
Niatnya untuk beribadat kepada Allah,
tetapi jika tidak diiringi dengan keizinan suami, dosa balasannya.
~,~ Terima Kasih, Jemput Datang Lagi Ye ~,~