
Suatu hari seorang alim yang
sangat takwa kepada Tuhan bermaksud untuk pergi ke Tanah
Suci mengerjakan ibadah haji. Waktu dia meminta izin
kepada ibunya, ternyata perempuan tua itu sangat keberatan. Menurut
ibunya, tunda dahulu keberangkatanmu sampai tahun depan. Ia
merasa bimbang terhadap keselamatan anaknya, kerana
orang alim itu adalah satu-satunya anak yang hidup dari
hasil perkahwinan dengan almarhum suaminya.
Rupanya orang alim yang
soleh itu sudah tidak dapat menahan keinginannya untuk
menunaikan rukun Islam yang kelima. Maka, walaupun tidak mendapat
restu dari ibunya, dia berkemas-kemas lalu berangkat
menuju ke Tanah Haram. Jelas keputusannya ini
bertentangan dengan ajaran Nabi. Kerana redha Allah
bergantung kepada redha orang tua, begitu pula murka
Allah terletak dalam murka orang tua.
Ketika menyaksikan
anaknya yang pergi juga, ibu yang sudah tua itu tergopoh-gapah
mengejar anaknya. Akan tetapi anaknya itu sudah telalu jauh.
Dia tidak mendengar suara ibunya yang
memanggil-manggil sambil berlari-lari itu. Dalam
marahnya ibu yang sangat cinta kepada anaknya
tersebut menadahkan kedua tangannya lalu berdoa: “Ya
Allah, anakku satu-satunya telah membakar diriku dengan panasnya
api perpisahan. Kumohon pada-Mu, balaslah dia dengan
seksaan yang setimpal. Sebagai ibunya, aku merasa
sakit hati, ya Allah.”
Doa ini jelas tidak pada
tempatnya bagi seorang ibu yang seharusnya bijaksana. Sebab
di antara doa-doa yang dikabulkan adalah doa seorang ibu
terhadap anaknya. Bumi seolah-olah bergoyang
mendengar doa ini. Namun orang alim tadi terus juga
berjalan. Pada sebuah kota kecil sebelum sampai
tempat tujuannya, orang alim itu berhenti melepaskan
lelah. Menjelang Maghrib dia berangkat ke masjid dan solat sampai
Isyak. Sesudah itu ia terus mengerjakan solat-solat
sunat dan wirid hingga jauh malam.
Secara kebetulan di sudut
kota yang lain, pada malam itu terjadi peristiwa yang
menggemparkan. Ada seorang pencuri yang masuk ke dalam rumah
salah seorang penduduk. Orang yang punya rumah terjaga dan
bersuara. Tiba-tiba pencuri itu terjatuh kerana
terlanggar suatu benda di kakinya. Ketika terdengar
bunyi sesuatu yang jatuh itu, maka orang yang punya
rumah pun memekik-mekik sambil berkata: “pencuri!
pencuri.”
Seisi kampung terbangun
semuanya. Dengan ketakutan pencuri itu lari sekuat tenaga. Orang-orang
kampung terus mengejarnya. Pencuri itu lari ke arah
masjid dan masuk ke halaman masjid tersebut.
Orang-orang pun mengejar ke sana. Ternyata pencuri
itu tidak ditemukan di dalam rumah Allah itu.
Salah seorang di antara mereka memberitahu
kepada pemimpinnya: “Kita sudah mencari di sekeliling
masjid, namun tidak ada bekas-bekasnya sedikitpun.”
Yang lainnya pula berkata: “Tidak mungkin
dia ditelan bumi, aku yakin dia belum lari dari sini.
Kalau di luar masjid tidak ada, mari kita cari ke
dalam masjid. Berkemungkinan dia bersembunyi di
situ.”
Maka orang-orang pun
masuk ke dalam masjid. Ternyata betul, di dekat mimbar ada
seorang asing sedang duduk membaca tasbih. Tanpa bertanya-tanya
lagi orang itu ditarik keluar. Tiba di halaman
masjid, orang tadi sudah terkulai dan pengsan kerana
dipukul beramai-ramai.
Penguasa hukum di kota
tersebut malam itu juga memutuskan suatu hukuman yang berat
kepadanya atas desakan masyarakat yang marah. Maka orang
tersebut diikat pada tiang dan dicambuk badannya.
Keputusan dari hakim ini
jelas menyalahi ajaran Nabi, bahawa seorang hakim seharusnya
menyelidiki hingga hujung suatu perkara, dan tidak boleh
menjatuhkan keputusan berdasarkan hawa nafsu. Begitu
juga walaupun lelaki itu dituduh menodai kesucian
masjid kerana bersembunyi di dalamnya, dengan
berpura-pura bersembahyang dan membaca wirid, padahal
dia adalah pencuri.
Pagi-pagi lagi seluruh
penduduk kota itu sudah berkumpul di pasar menyaksikan jalannya
hukumam qisas itu. Selain algojo melaksanakan tugasnya,
orang-orang pun bersorak-sorak melihat si alim
dicambuk hingga pengsan. Mereka tidak lagi mematuhi
ajaran Islam untuk berbuat adil terhadap siapa saja,
termasuk kepada pencuri yang jahat sekalipun. Darah
memercik ke sana ke mari, orang-orang kelihatan semakin puas.
Semakin siang semakin
ramai orang yang berkumpul menonton dan meludahi pencuri yang
terkutuk itu. Dalam kesakitannya, orang alim yang dihukum
sebagai pencuri itu mendengar salah seorang penduduk
yang berkata: “Inilah hukuman yang setimpal bagi
pencuri yang bersembunyi di dalam masjid!” Sambil
meludah muka orang alim tersebut.
Orang yang dihukum yang dianggap pencuri ini dengan suara yang
tersendat-sendat membuka mulutnya berkata: “Tolong jangan
katakan demikian. Lebih baik beritahukanlah kepada
orang ramai bahawa saya ini adalah hamba Allah yang
ingin mengerjakan ibadah haji, tapi tidak mendapat
restu dari orang tua.”
Mendengar ucapan ini,
orang yang mendengar jadi terkejut dan menanyakan siapakah
dia sebenarnya. Orang alim tadi membuka rahsianya, dan
masyarakat jadi serba salah. Akhirnya mereka terpaksa
memberitahukan hal itu kepada hakim.
Setelah hakim itu datang
dan tahu duduk perkara yang sebenarnya, maka semua mereka
menyesal. Mereka kenal nama orang alim itu, iaitu orang yang
soleh dan ahli ibadah. Cuma belum pernah tahu rupanya.
Ibu-ibu yang hadir serta orang tua lainnya ramai yang
merasa sedih tidak dapat menahan diri, tapi sudah
tidak ada gunanya.
Malamnya, atas permintaan
orang alim itu setelah dibebaskan dari seksaannya, dihantarkan
ke rumah ibunya. Pada waktu orang alim tersebut akan
dihantar, ibunya telah berdoa: “Ya Allah, jika anakku
itu telah mendapatkan balasannya, maka
kembalikanlah dia kepadaku agar aku dapat melihatnya.”
Begitu selesai doa si
ibu, orang yang membawa anaknya pun sampai. Orang alim itu
minta didudukkan di depan pintu rumah ibunya, dan mempersilakan
orang yang mengantarnya itu pergi. Sesudah keadaan
sunyi kembali, tidak ada orang lain, maka orang alim
itupun berseru dengan suara yang pilu:
“Asalamualaikum.”
Maka terdengarlah suara oang tua yang
menjawab salamnya dari dalam. Bergetar hati si alim mendengar
suara itu:
“Saya adalah musafir yang terlantar. Tolonglah beri saya roti
dan air sejuk,” kata orang alim itu menyamar diri.
“Mendekatlah engkau ke pintu. Hulurkan
tanganmu melalui celah pintu,” jawab suara tadi dari dalam.
“Maaf, saya tidak boleh mendekati
pintu kerana kedua kaki saya sangat kaku. Saya juga tidak dapat
menghulurkan tangan melalui celah pintu, kerana
tangan saya terasa letih.”
“Jadi bagaimana caranya?” Si ibu mengeluh
kehilangan akal. “Antara kita ada pemisah yang tidak
boleh dilanggar. Engkau lelaki yang tidak saya kenal,
dan saya, walaupun sudah tua, adalah seorang
perempuan.”
“Jangan bimbang wahai puan,” kata orang
alim tersebut. “Saya tidak akan membuka mata kerana kedua
mata saya sangat pedih, jadi saya tidak akan melihat
ke arah puan.”
Mendengar jawapan itu,
tidak beberapa lama kemudian perempuan itu pun keluar membawa
sepotong roti dan segelas air sejuk. Orang alim itu begitu
saja merasakan kehadiran ibunya, sudah tidak mampu
lagi menahan diri. Ia memeluk kaki ibunya dan
menjerit sambil menangis: “Ibu, saya adalah anak ibu
yang derhaka.” Ibunya pun merasa sedih. Dipandangnya
orang cacat di mukanya itu lalu ia menjerit ternyata adalah
anaknya. Mereka berdua saling berpelukan dalam tangisan.
Ketika itu juga perempuan
tersebut menadahkan tangannya memohon ampun kepada Allah: “Ya
Allah, kerana telah jadi begini sungguh saya menyesal atas
kemarahan saya kepada anak sendiri, saya bertaubat
untuk tidak mengulangi lagi perkara ini, ampunilah
saya ya Allah, serta ampunilah dosa orang-orang yang
menyeksanya kerana kami semua telah disesatkan oleh
godaan iblis dengan nafsu marah.”
